Penggerak Al-Imam
Para
pendukung Al-Imam ini bukan berdarah Melayu tempatan kecuali Haji
Abbas bin Mohd Taha. Kebanyakan mereka berketurunan Arab. Hal ini mungkin meragukan beberapa pihak kerana mungkin akan menimbulkan persoalan
kerana mereka bukan orang Melayu tempatan,maka bolehkah mereka dianggap sebagai
pemimpin Melayu.? Biarpun ia menjadi persoalan tetapi sumbangan tokoh-tokoh ini
sangat besar dalam menjana pemikiran masyarakat Melayu .
Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin
Beliau
dilahirkan di Kota Tua, Ampek Angkek, Tanah Minangkabau, Sumatera Barat. Beliau berketurunan bangsawan dan ulama Melayu Minangkabau yang pernah mendapat pendidikan di Makkah dan
kemudiaannya di Al-Azhar Mesir dari tahun 1895 hinggalah tahun 1899. Di sana beliau telah diawasi oleh
sepupunya, Syeikh Ahmad Khatib,seorang imam di Masjidil Haram. Pada tahun 1899 beliau kembali ke tanah air tetapi tidak terus ke Minangkabau
sebaliknya ke Perak. Di Perak beliau telah berumahtangga dan berkhidmat dalam masyarakat setempat.
Beliau telah menganggotai Ahli Meyuarat
Orang-orang Besar Perak.Seterusnya beliau berhijrah ke beberapa tempat seperti Singapura dan Johor. Di
sana beliau telah bertemu dengan beberapa orang yang mempunyai pengaruh di dalam
gerakan Islah. Begitu juga hubungan rapat yang sering dilakukan oleh negara
Singapura dan Mesir serba sedikit memberi kefahaman dan pengetahuan kepadanya
untuk mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh pemimpin di Timur Tengah.
Sumbangan Syeikh Tahir Jalaluddin dalam menerbitkan Al-Imam memang besar. Hubungannya dengan Ketua Pengarang Al-Manar mungkin membawa banyak manfaat
kepadanya bagi mengendalikan penerbitan Al-Imam.
Syed Syeikh Al-Hadi.
Dilahirkan
pada 25 Rejab tahun 1281 hijrah bersamaan 1867 masihi di Kampung Hulu, Melaka. Bapa
Syed Syeikh bernama Syed Ahmad bin Hassan al-Hadi, berbangsa Arab daripada
keturunan Hadramaut.Ayahnya Syed Ahmad dan nendanya Syed Hassan bin Saggaf al-Hadi juga dilahirkan
di Melaka. Bapanya Syed Ahmad telah mendirikan rumahtangga dengan perempuan
Melayu Melaka pada 1275 hijrah dan dikurniakan tujuh orang anak. Syed Syeikh
merupakan anak yang keempat.Sejarah susur galur dan jurai keturunan Syed Syeikh seperti juga golongan Syed
yang lain di Tanah Melayu memiliki keistimewaan yang tersendiri dan dihormati
masyarakat.Ketika itu golongan Syed amat berpengaruh dalam bidang sosial, ekonomi,
politik dan agama di Tanah Melayu. Oleh itu tidak hairanlah kalau Syed Syeikh merupakan putera Melayu keturunan
Arab yang berpengaruh dan berkedudukan di kalangan bangsawan dan golongan
feudal di Melaka. Manakala dari segi pendidikan, Syed Syeikh memulakan
pembelajarannya di Sekolah Melayu Settlements, Melaka. Kemudian berhijrah ke
Pulau Penyegat (Riau) sewaktu berumur 14 tahun bersama dengan keluarganya.
Kemudian beliau telah melanjutkan pelajaran bagi mendalami ilmu agama dan
bahasa Arab di sekolah pondok di Kuala Terengganu. Seterusnya beliau telah dihantar ke Makkah untuk belajar dan tinggal di sana
selama beberapa tahun. Sekembalinya dari tanah suci, beliau terus menetap di
Pulau Penyengat dan berkahwin dengan sepupunya iaitu Syarifah binti Muhammad
al-Hadi.
Kemudian
sehingga tahun 1906 apabila Al-Imam
diterbitkan, Syed Syeikh telah ke Mesir sebanyak dua kali.Kali pertama
mengiringi keluarga Sultan Riau ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji.Setelah
melakukan ibadat itu, mereka telah melawat Kaherah, Mesir. Peluang kedua beliau ke Mesir adalah bersama
dengan Syeikh Tahir Jalaluddin. Lawatan kali ini lebih bermakna kerana yang
bersama dengannya iaitu Syeikh Tahir mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan
tokoh-tokoh Islah terkemuka terutama Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha.
Haji Abbas Mohd Taha.
Tokoh
ini telah dilahir pada tahun 1885 di Tanjung Pagar, Singapura. Berketurunan Minangkabau
dan menghabiskan masa mudanya belajar di Mekah dan kembali ke Singapura pada
1905. Sebelum bertugas sebagai pengarang Al-Imam beliau pernah bekerja sebagai
guru agama dan imam masjid Tanjung Pagar. Pernah juga menjadi kadi besar di
Singapura. Beliau menerbitkan akhbar Neracha pada tahun 1910 dan diikuti
majalah Tunas Melayu pada tahun 1913. Kedua-dua akhbar ini meneruskan
cita-cita yang diperkenalkan oleh Al-Imam.
Ini meletakkan beliau sebagai seorang ulama dan tokoh Islam yang berjaya
menyambungkan Islah Islam yang diasaskan oleh Al Imam. Akhirnya sejak dari tahun 1940 beliau menjadi guru agama di Selangor dan Mufti di
Pahang.
Mohd Salim al-Kalali
Riwayat
hidup Syeikh Salim ini masih kabur tetapi beliau memainkan peranan yang sangat
penting dari segi kewangan. Beliau bergiat dalam bidang perniagaan di
Singapura. Semasa
Al-Imam diterbitkan, beliau memainkan
peranan sebagai penerbit dan pemiliknya. Ia diiktiraf oleh Straits Settlement
Government Gazetes. Syeikh Mohd Salim merupakan mudir pertama Al-Imam
manakala Syeikh Tahir, Syed Syeikh Al-Hadi dan Haji Abbas bin Muhammad Taha
sebagai pengarangnya.
Nama
Al-Imam itu sendiri adalah mengambil
sempena nama gelaran Syeikh Muhammad Abduh, tokoh reformis besar dari Mesir. Menurut penganjur-penganjur Al-Imam
ini, mereka memang cintakan negara ini dan menganggap Tanah Melayu sebagai
negeri mereka sendiri. Mereka telah menyesuaikan diri dalam masyarakat Melayu
dan telah hidup bercampur gaul dengan orang Melayu. Hidup mereka telah
sebati dengan keadaaan dan cara hidup
orang Melayu. Syeikh Mohd Salim Al Kalali pernah berkata “sudah minum kami akan
air susunya dan telah tumbuh daripadanya daging darah kami dan telah terbit
daripadanya kenikmatan dan kesenangan kami. Tidakkah terhutang budi kami kepada
negeri ini dan anak-anaknya.”
Dengan sebab itu Al-Imam merasakan adalah kewajipannya
dalam menyedarkan orang Melayu dan memberi petunjuk serta bimbingan kepada
mereka. Ia berasa bertanggungjawab untuk mencegah orang Melayu terutama
golongan pembesar daripada khayalan dan kelalaian yang telah menyebabkan
kemunduran dan kehinaan bangsa dan tanahairnya. Sebab itulah akhbar yang diterbitkan di namakan Al-Imam (pemimpin).
SUMBER RUJUKAN
Sohaimi Abdul Aziz, Syeikh Tahir Jalaluddin Pemikir Islam, Pulau Pinang, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2003
Talib Samat, Syed Syeikh Al-Hadi;Sasterawan Progresif Melayu, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1992
William R.Roff, The Origins Of Malay Nationalism, Kuala Lumpur, University Of Malaya Press, 1967
Mahayuddin Haji Yahaya, Sejarah Orang Syed Di Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1984
A.Z. Ariffin, Al-Imam Syeikh Muhammad Abduh, Mimbar Islam, Oktober 1973
No comments:
Post a Comment